FAKTA GISAK: MAKANAN TRADISIONAL MASYARAKAT DUSUN KIMARAGANG SABAH

 

Gisak atau juga dikenali sebagai sup isi perut lembu merupakan salah satu makanan tradisi masyarakat bagi suku kaum Dusun Kimaragang Sabah. Gisak merupakan makanan tradisi yang menyerupai sup daging biasa cuma, sup ini ditambah dengan cecair dalam usus dan perut lembu berwarna hijau kehitaman yang menjadi salah satu makanan paling digemari oleh penduduk khasnya Dusun Kimaragang Kota Marudu bahagian Tandek.

Setiap kali ada majlis diadakan, menu gisak akan menjadi hidangan untuk para tetamu kerana mereka termotivasi untuk datang ke majlis tersebut oleh kerana keistimewaan dan kelazatan sup gisak. Sehingga timbul istilah “kayou pogi it gisak” bermaksud jom datang untuk merasai gisak bagi mengajak jiran agar turut hadir dalam majlis. Perkara ini membuktikan bahawa hidangan sup gisak merupakan perkara utama yang mendorong tetamu untuk menghadiri sesuatu majlis.

Situasi inilah yang jelas kelihatan dalam majlis-majlis di daerah Kota Marudu khasnya kawasan Tandek iaitu Kampung Tondig, Kampung Togudon, Kampung Masin-Asin, Kampung Liabas, Kampung Tanjung Batu, Kampung Koromoko dan banyak lagi. Antara individu mahir dalam penyediaan masakan gisak ialah En Jomilon, En Lazimin, En Majumba, En Jerison, En Malujang, En Jimam, En Majikal dan ramai lagi.

Bahan-bahan diperlukan (hidangan untuk 20 orang)

1.      Isi Daging 5kg

2.      Tulang 1kg

3.      Usus Kecil Lembu Fresh kg

4.      Usus Besar Lembu Fresh 0.5kg

5.      Isi Perut Lembu@Tuala (Gituko) 1kg

6.      Isi Dalam Perut Lembu@Gisak (rumput yang dimakan belum diproses) 1kg

7.      4cm Halia Dihiris Nipis

8.      Garam Dan Ajinomoto

Cara-cara penyediaan

Perah isi dalam perut lembu atau gisak dalam bekas. Seterusnya tapis cairan tadi menggunakan besen tapisan bagi mengelakkan ada campuran ketulan atau daun rumput. Rebus daging + tulang + isi perut dengan menggunakan air gisak yang bertapis tadi. Sebelum air mendidih, masukan potongan usus kecil dan usus besar berukuran 3inci sekali dengan cecair hijau didalamnya. Kemudian masukan garam, ajinomoto dan halia dan sesuaikan rasa. Tunggu sehingga masak dalam 45minit sebelum sedia untuk dihidangkan

Sup gisak mempunyai 2 jenis gred iaitu gred A dan gred B. Bezanya adalah ukuran kepekatan yang boleh dilihat melalui warna kuah sup dan kepahitan. Semkin hijau kehitaman maka semakin pekat sup gisak dan semakin pahit. Untuk mendapatkan sup gisak pekat, lebihkan usus dan air tapisan isi dalam perut lembu. Terdapat juga cara menambah kepahitan dengan mencampurkan pucuk betik jantan dan pucuk ubi kayu. Biasanya para pengemar sup gisak lebih suka kepada gred A manakala mereka yang sekadar mencuba atau paksa rela lebih memilih gisak gred B.

Selain lembu@sapi, sup gisak juga boleh dimasak daripada haiwan lain seperti kerbau dan kambing termasuk haiwan liar seperti rusa, kijang dan pelanduk. Malah sup gisak haiwan liar jauh lebih sedap dan beraroma. 

Sebagai penutup, pengambilan sup gisak dipercayai mendatangkan khasiat kerana warna hijau yang terdapat dalam sup gisak  merupakan warna hijau rumput. Itulah pigmen klorofil yang tertinggal sebelum dimetabolismakan. Ibarat minum air tumbuhan hijau, ia baik untuk kesihatan dan menjadikan kulit lebih cantik. Tidak dapat dinafikan, pakar perubatan turut mengesahkan manfaat yang terdapat dalam cecair klorofil yang mana ia mampu meningkatkan kualiti sel darah merah.


Lihat lebih banyak yang menarik dengan klik link dibawah


Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KG LIABAS: SEJARAH DAN PENGKISAHAN

AKI UNGKILAN: WADAH PENYATUAN PENDUDUK KG LIABAS