KG LIABAS: SEJARAH DAN PENGKISAHAN

 

KG LIABAS: SEJARAH DAN PENGKISAHAN

Menurut sumber lisan, kampung Liabas Marasinsim telah wujud sekitar tahun 1920-an. Kampung Liabas mendapat nama sempena dengan nama pokok jambu batu dalam bahasa Dusun Kimaragang disebut “Liabas” yang sememangnya banyak terdapat di sekitar kampung ini.[1] Ketua kampung pertama ialah aki KK Ungkilan bin Deeng. Beliau merupakan cucu kepada hulubalang masyarakat Dusun Kimaragang Kota Marudu iaitu panglima Pamansah. Sebagai maklumat tambahan, panglima Pamansah merupakan adik beradik kepada panglima Tumunda dan aki Badur. Bapa mereka bernama Yunggonit bin Lalakou.[2] Beliau seorang yang amat disegani ramai khususnya penduduk-penduduk kampung ini. (boleh dapatkan sejarah pengkisahan panglima Pamansah dalam tulisan sebelum ini)

Hal ini demikian kerana beliau sangat bijaksana serta teliti dalam menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung. Beliau juga memiliki susuk tubuh badan yang luar biasa iaitu kelebaran dada 3 jangkal (1.5 kaki) serta ketinggian 7 kaki. Seluruh badan beliau terutama bahagian dada ditumbuhi bulu lebat sehingga boleh digengam atau dalam Bahasa Dusun Kimaragang opinggunutan. Selain itu, beliau juga memiliki suara yang kuat seperti guruh dilangit dimana suara beliau akan jelas kedengaran sehingga jarak 1 batu. Beliau berkhidmat selama 25 tahun sebagai ketua kampung Liabas Marasinsim dan meninggal dunia pada tahun 1945 atas sebab penyakit tua atau uzur. (boleh dapatkan sejarah pengkisahan aki Ungkilan dalam tulisan saya seterusnya)

Berikut merupakan perincian Ketua Kampung Liabas Marasinsim dari tahun 1920 sehingga Kini[3]

1.     Kk Ungkilan Bin Deeng (1920-1945) 25 Tahun

2.     Kk Porodtong Bin Ungkilan (1946-1950) 4 Tahun

3.     Kk Sudaron Bin Sabud (1951-1961) 10 Tahun

4.     Kk Gantar Bin Sudaron (1962-1980) 18 Tahun

5.     Kk Mantangus Bin Ansau (1981-1982) 1 Tahun

6.     Kk Majaluk Bin Mail (1983-2004) 21 Tahun

7.     Kk Jalunah Bin Gaga (2005-Sekarang)

Pada masa kepimpinan kk Sudaron Bin Sabud, ramai penduduk Marasinsim telah membuka dan mengerjakan tanah kawasan sebelah barat Marasinsim iaitu kawasan yang dikenali kampung Liabas pada hari ini. Perkara ini menyebabkan berlakunya konflik antara pemimpin kampung Liabas dan kampung Marasinsim. Konflik ini berkisar pada perebutan kawasan kerana aki Adun Bin Panasar menuntut kawasan Liabas sebagai wilayah Marasinsim iaitu dibawah kekuasaanya manakala aki Sudaron menolak dengan hujah bahawa Kawasan Liabas adalah kampung yang berdiri secara bebas tanpa bergantung dengan mana-mana kampung.

Konflik ini menyebabkan kedua tokoh ini sering naik turun mahkamah namun tiada jalan penyelasaian. Akhirnya, DO dari daerah Kudat yang berbangsa Inggeris telah campur tangan dan membuat keputusan untuk masalah tersebut. Melalui kebijaksanaan dan autoriti beliau, kampung Marasinsim telah ditiadakan dan diganti dengan dua kampung baharu iaitu kampung Tanjung Batu Darat dan kampung Liabas. Kampung Tanjung Batu Darat dipimpin oleh aki Adun sebagai ketua kampung manakala kampung Liabas dipimpin oleh aki Sudaron sebagai ketua kampung.

Sejak itu, mereka tidak lagi bersengketa disebabkan sama-sama mempunyai kampung untuk dijaga.[4] Kampung ini merangkumi satu kawasan yang luas iaitu di bahagian selatannya bersempadan dengan Kampung Taritipan. Bahagian utaranya pula mengunjur hingga ke Kampung Koromoko dan kampung Kinangkaban. Pada tahun 1988, kampung Liabas telah menerima kelulusan rezab perkampungan iaitu seluas 18 ekar daripada Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS). Rezab tanah tersebut dijadikan sebagai tapak perumahan kepada penduduk kampung dan sehingga kini sebanayk 50 buah rumah sudah berjaya dibina. Namun demikian, terdapat juga sebilangan penduduk kampung Liabas tinggal atau membina rumah di atas tanah milik mereka sendiri bagi memudahkan mereka menjalankan segala aktiviti ekonomi seperti bercucuk tanam, menoreh getah, menternak haiwan dan sebagainya. Antara sumber pendapatan utama penduduk kampung Liabas ialah pertanian, nelayan, kerja swasta dan kaki tangan  kerajaan. Kampung Liabas juga mendapat bantuan kemudahan daripada pihak kerajaan antaranya dewan serbaguna, padang bola sepak, bekalan elektrik, rumah adat, paip gravity, astaka, jalan raya dan sebagainya.

Ringkasnya, sejarah kewujudan kampung Liabas ini amatlah wajar untuk direkodkan dalam bentuk penulisan agar menjadi satu catatan sejarah yang bermanfaat untuk tatapan generasi kini dan akan datang. 



 Lihat lebih banyak yang menarik dengan klik link dibawah

                                                                                                                                 


[2] Manual Damilan. 2017. Aki Tumunda: Tokoh Masyarakat Dusun Kimaragang di Kota Marudu dari Sudut Sejarah Lisan. Jurnal Borneo Arkhailogia. Vol. 1(1), Disember, 2017, hlm. 1-10.

[3] Catatan sejarah kampung Liabas Marasinsim yang dibuat dan disimpan oleh Kk Jalunah Jaga

[4] Temubual bersama En Majikal bin Gantar Pada 16/02/2022 Pukul8 Malam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

FAKTA GISAK: MAKANAN TRADISIONAL MASYARAKAT DUSUN KIMARAGANG SABAH

PANGLIMA PAMANSAH: TOKOH KEBANGGAAN MASYARAKAT DUSUN KIMARAGANG