AKI UNGKILAN: WADAH PENYATUAN PENDUDUK KG LIABAS

 

Aki Ungkilan: Wadah Penyatuan Penduduk Kimaragang Kg Liabas Dan Sekitarnya

Menurut sejarah lisan, Aki Ungkilan merupakan cucu kepada hulubalang tersohor suku Kaum Kimaragang iaitu pangglima Pamansah bin pangglima Yunggonit. Pangglima Pamansah mempunyai dua orang adik-beradik iaitu pangglima Tumunda dan Aki Badur. Secara ringkas, keluarga ini berasal daripada Kampung Lumpas yang terletak di kawasan tanah tinggi Telupid di bahagian utara Kampung Sonsogon Paliu (Omar Majun, 2016).

Kemudian keluarga ini berhijrah ke Kampung Minitampak dan seterusnya ke Kampung Togomonggis atau dikenali sebagai Kampung Salimandut pada masa kini.[1] Pangglima Pamansah diarahkan oleh bapa beliau, Panglima Yungonit untuk berhijrah ke kawasan lain iaitu kawasan bersempadan dengan daerah Pitas. Terdapat sumber mengatakan beliau mendiami kampung Koromoko dan Tanjung Batu Darat. Beliau telah berkhawin dan melahirkan ramai anak lelaki iaitu Anggip, Salumpang, Darani, Ujali, Deeng, Solidon, Galabi, Limpas.

Aki Ungkilan bin Deeng dikatakan lahir dan membesar di kampung Liabas. Dari segi fizikal, beliau mempunyai tubuh badan yang besar iaitu anggaran ketinggian 7 kaki dengan dada selebar 1.5 kaki. Selain itu, dada beliau berbulu lebat sehingga boleh digengam atau dalam bahasa asal kimaragang iaitu opinggunutan. Selain itu, beliau juga memiliki suara yang kuat seperti guruh dilangit dimana suara beliau akan jelas kedengaran sehingga jarak 1 batu.[2] Beliau mempunyai 9 orang anak iaitu Tampuau, Mail, Bonur, Porodtong, Enuling, Endolong, Kolong, Mayung dan Silamon. (lihat carta susur galur keluarga dibawah.)

Dari sudut kepimpinan, beliau pernah menjadi Ketua Kampung Liabas selama 25 tahun iaitu paling lama setakat ini.[3] Atas sifat kegagahan dan kelantangan dalam berbicara serta pengalamannya, maka penduduk tempatan di kawasannya lebih senang memilih beliau sebagai ketua mereka. Tambahan pula, tradisi masyarakat Kota Marudu dahulunya lebih memberikan kepercayaan kepada mereka yang memiliki keistimewaan tertentu serta masih berpegang kepada prinsip ‘siapa kuat atau gagah’, maka individu tersebut dianggap sebagai ketua.[4]

Sebagai Ketua Kampung, aki Ungkilan terlibat dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan, seperti pembahagian tanah, perbalahan dan hal-hal yang berkaitan dengan adat resam masyarakat Dusun Kimaragang. Beliau tegas dan lantang dalam membuat keputusan semasa perbicaraan dengan harapan boleh menimbulkan ketenteraman kampung. Berdasarkan pengalaman serta kebijaksanaan inilah maka beliau acap kali dipanggil oleh Ketua Kampung sekitarnya untuk mendapatkan khidmat nasihat atau pandangan malah turut terlibat menyelasaikan masalah.[5] Beliau sangat bijak serta teliti dalam menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung.

Oleh itu, penulis merasakan bahawa tidak keterlaluan jika penulis mengelar Aki Ungkilan sebagai wadah penyatuan Kampung Liabas dan sekitarnya atas sumbangan dalam mewujudkan keharmonian melalui penyatuan penduduk Kimaragang. Tambahan pula, pengalaman beliau dalam mentadbir kampung wajar menjadi ikutan pada generasi baharu pada hari ini.






Memo, 
carta keluarga tidak lengkap dan kurang tepat sepenuhnya disebabkan keterbatasan sumber semasa pandemik covid-19. 

Lihat lebih banyak yang menarik dengan klik link dibawah



[1] Manual Damilan. 2017. Aki Tumunda: Tokoh Masyarakat Dusun Kimaragang di Kota Marudu dari Sudut Sejarah Lisan. Jurnal Borneo Arkhailogia. Vol. 1(1), Disember, 2017, hlm. 1-10.

[2] Temubual bersama En Jalunah Jaga bertemapat rumah kediaman beliau pada 14/12/2021 pukul2 pm

[4] Manshur Bin Kotung. 2003. Perjuangan Syarif Usman di Kota Marudu. 1830-1845. Latihan Ilmiah. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah. Hlm 5

[5] Temubual bersama En Majin Tampuau bertempat di Kg Tondig pada 08/10/2021 pukul2 pm

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

FAKTA GISAK: MAKANAN TRADISIONAL MASYARAKAT DUSUN KIMARAGANG SABAH

KG LIABAS: SEJARAH DAN PENGKISAHAN

PANGLIMA PAMANSAH: TOKOH KEBANGGAAN MASYARAKAT DUSUN KIMARAGANG